Isnin, 14 Mac 2011

Fragmen: Hikayat Merong Mahawangsa dan masa depan filem kita

Oleh Zainuri Misfar zainuri@bharian.com.my 2011/03/14

DALAM dunia perfileman hari ini, teknologi turut memainkan peranan penting untuk membantu meningkatkan kualiti sesebuah karya. Ia membabitkan banyak aspek, daripada pembikinan, gred pewarnaan, suntingan, gambar sehinggalah kepada kualiti bunyi serta muzik. Segala-galanya dibuat demi kepuasan penonton. Ini bermakna cerita yang kuat saja belum memadai kalau tidak ada sokongan daripada teknologi. Bahkan menerusi teknologi yang canggih dan bersesuaian dengan penggunaannya, sedikit sebanyak boleh mengurangkan kos penerbitan.
Menerusi teknologi, penerbit filem tidak perlu membina set atau suasana yang besar dan banyak seperti membangunkan semula sebuah perkampungan, membina kapal, rumah atau kapal terbang kerana ia pastinya membabitkan kos tinggi. Teknologi penjanaan imej perkomputeran sedikit sebanyak mengurangkan kos penerbitan ini sehingga 40 peratus.
Bagaimanapun, penggunaan teknologi dalam sesebuah perfileman seperti CGI perlu juga dibuat berhati-hati supaya ‘roh’ atau jiwa dalam filem itu sendiri tidak hilang. Tidak mencukupi kalau gambarnya cantik, sistem bunyi bermutu, tetapi ceritanya tidak boleh dihayati atau dijiwai oleh penonton dengan baik. Menonton filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) baru-baru ini memberikan perspektif baru kepada saya dalam kemampuan karyawan muda kita dalam menghasilkan filem menggunakan teknologi tinggi. Teknologi yang digunakan oleh Yusry Abdul Halim sebagai pengarah filem HMM mungkin belum setanding dengan Hollywood, Jepun, Korea Selatan atau Hong Kong. Namun, kalau melihat daripada perspektif perfileman tempatan - selepas mengambil kira tahap kemampuan, peralatan dan perbelanjaan yang digunakan - ternyata sekali filem HMM memang sesuatu yang membanggakan. Saya tidak sendiri tidak teragak-agak berasa teruja dengan skor muzik HMM yang dimainkan oleh Orkestra Filharmonik Malaysia. Ia memang mantap dan susunan alunan melodinya hampir tepat dengan babak dramatik dan emosional. “Filem (Hikayat) Merong Mahawangsa ini ada 1,500 CGI dan ia dibuat oleh 12 orang, semuanya orang tempatan. Di Hollywood, kalau 1,500 teknik CGI ini dibuat oleh 300 pekerja. Jadi bagaimana kita dengan 12 pekerja untuk menyiapkan 1,500 CGI dalam Merong Mahawangsa. “Sebab itulah filem ini mengambil masa agak lama untuk disiapkan. Kita mungkin boleh buat lebih kurang, tetapi kata Yusry, sudah alang-alang hendak bawa filem ini ke pasaran luar negara, kita kena buat sungguh-sungguh walaupun banyak kerja hendak dibuat,” demikian kata Norman ketika berbual selepas menjadi juri Bintang Idola Berita Harian (BIBH) di The Mall, Kuala Lumpur minggu lalu. Walau secanggih mana sekalipun, Norman mengakui HMM tidak sempurna. “James Cameron ketika buat buat filem Titanic juga pernah berkata filem arahannya itu tidak sempurna walaupun bagi kita ia sudah nampak bagus. Beberapa minggu filem itu hendak ditayangkan, dia (James) masih memperbaiki filem itu. Sudah tentu, saya dan Yusry sendiri berasa filem Merong Mahawangsa ini memang tidak sempurna sepenuhnya, tetapi itulah yang kita mampu buat,” tambah Norman lagi. Memanglah kalau hendak melihat daripada sudut kekurangan, terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Dalam keadaan tertentu, gambar dalam cerita kelihatan seperti ‘pecah’ dan berbintik-bintik. Jalinan babak cinta antara Putera Rom dan Puteri China juga dilihat agak meleret-leret. Tapi ia tidaklah memberikan kesan besar kepada keseluruhan filem ini kerana jalinan plotnya yang bergerak agak laju. Filem HMM ini membawakan KRU Studios kepada identiti pembikinan filemnya yang tersendiri. Syarikat yang diterajui oleh tiga bersaudara ini sudah dikenali dengan filem bercorak futuristik dengan menggunakan teknologi moden seperti CGI dan animasi. Ia memang rumit dan mahal. Jadi, inisiatif dan kegigihan KRU Studios memilih filem daripada genre seperti HMM dan sebelumnya Cicak Man, Duyung dan Magika wajar diberikan penghargaan. Keadaan ini menjadikan corak filem kita semakin berwarna-warni. Kita ada filem seram, komedi seram, serius atau drama, komedi dan aksi. Kepelbagaian ini menyemarakkan lagi suasana industri perfileman kita. Apa yang penting sekarang bagaimana hendak memberi sokongan kepada filem-filem kita? Adakah sekadar cakap saja lebih tetapi menontonnya tidak? Adilkah kalau setakat mengomel itu dan ini tetapi tidak pernah langsung menjejakkan kaki ke panggung wayang? “Tidak bolehlah setiap filem yang ditayangkan boleh dapat sampai RM8 juta. Kalau dapat banyak itu baguslah. Tapi cukuplah kalau kutipannya boleh balik modal,” kata David Teo, seorang produser gigih yang tidak putus-putus menghasilkan filem terbaru. Kesungguhan David menerbitkan filem setiap bulan, membuktikan dia tahu filem tempatan ada penontonnya. Dia tahu siapa kelompok penonton yang boleh dianggap sebagai kaki wayang. Dan, ‘kaki wayang’ inilah yang menjadi sasaran kebanyakan penerbit filem kerana kumpulan ini selalunya adalah golongan yang karang hendak mengomel mengenai filem kita. Seperti harapan Norman, kita juga mengharapkan filem HMM ini dapat mengekalkan rentak kutipan kasar filem tempatan. Norman sendiri tidak meletakkan sasaran tinggi tetapi baginya memadai kalau HMM boleh mengaut antara RM4 juta hingga RM5 juta walaupun kos pembikinan filem itu dikatakan RM8 juta. Ramai yang optimis dengan filem Hikayat Merong Mahawangsa. Pengarah dan produser Skop Production, Datuk Yusof Haslam sendiri tidak menafikan kualiti filem terbabit. “Saya yakin filem ini (HMM) boleh dapat sambutan baik. Berapa banyak boleh dapat, itu saya tidak pasti. Tapi Hikayat Merong Mahawangsa memang filem yang boleh ditonton,” katanya dalam perbualan spontan ketika pratonton filem ... Dalam Botol terbitan Raja Azmi, Rabu lalu. -zainuri@bharian.com.my

Tiada ulasan:

>