Jumaat, 4 Mac 2011

Berita Harian Online/Kesan negatif kecelaruan sistem pendidikan

Kunta Kinte: Kesan negatif kecelaruan sistem pendidikan

2011/03/04

MINGGU ini Kunta Kinte nak sentuh sikit mengenai sistem pendidikan kita. Mula-mula sekali kita tak boleh elak daripada mengaku yang sistem pendidikan kita ada baik dan buruknya. Malah kalau kita fikir masak-masak, kita akan sedar iaitu dalam kebaikan ada keburukan dan dalam keburukan ada kebaikan.
Kita ambil sistem persekolahan. Kita ada sekolah kebangsaan yang bahasa pengantarnya Melayu. Kemudian kita ada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang utamakan bahasa ibunda kaum Cina dan Tamil.
Tak cukup dengan itu, kita juga ada sekolah aliran agama (Islam) yang bagi keutamaan kepada bahasa Arab. Kemudian muncul pula sekolah swasta. Ada yang ikut kurikulum kebangsaan tapi utamakan bahasa Inggeris dan ada yang tak ikut sistem kebangsaan. Kemudian kita ada sekolah antarabangsa yang mana ramai orang politik kita, termasuk menteri dan timbalan menteri, hantar anak mereka. Kerana ada banyak jenis sekolah maka anak-anak kita daripada pelbagai kaum ada yang masuk sekolah kebangsaan dan mulalah bergaul sejak usia muda. Tapi yang masuk sekolah jenis kebangsaan hanya kenal kaumnya sendiri saja, melainkan sekolah jenis kebangsaan Cina yang besar-besar yang ada jugalah murid Melayu dan India. Tapi yang pergi ke sekolah Tamil rasa-rasanya semuanya budak-budak India daripada keturunan Tamil. Ini kita kena faham pasal bukan semua orang India Malaysia keturunan Tamil, bercakap Tamil dan beragama Hindu. Ada India keturunan Punjab (Punjabi), Bengal (Benggali), Kerala, Goa dan sebagainya. Ada juga yang datuk neneknya datang dari Sri Lanka atau Myanmar. Di kalangan mereka pula ada yang agama Hindu, Islam, Buddha dan Kristian. Jadi tak betullah kalau kita kaitkan semua orang India dengan pertubuhan haram Pasukan Bertindak Hak Hindu atau Hindu Rights Action Force (HINDRAF). Seperti jelas daripada namanya, HINDRAF ini adalah pergerakan agama Hindu. Kalau hari ini rakyat negara kita mudah dipanaskan oleh api perkauman, salah satu puncanya adalah sistem persekolahan yang pelbagai dan terasing ini. Kunta Kinte mula sekolah pada zaman penjajah di sekolah Melayu. Semua budak-budak Melayu, kecuali sekerat dua budak-budak Siam. Budak-budak Cina pergi ke sekolah Cinalah. Masa darjah lima, Kunta Kinte ambil Peperiksaan Masuk Darjah Khas Melayu (Special Malay Class Entrance Examination). Bila lulus masuklah ke sekolah mubaligh Roman Katolik Saint Michael Primary School di Alor Setar. Dalam Darjah Khas Melayu 1 dan 2, kita diajar berbahasa Inggeris secara intensif. Guru kelas saya namanya Syed Salim. Dia garang tapi sangat baik hati dan tekun. Cakap sepatah saja bukan dalam bahasa Inggeris kena denda 15 sen. Aduhai, pada zaman itu, 15 sen sama besar dengan roda kereta lembu. Jadi dalam masa dua tahun, budak-budak Melayu dari kampung dah boleh ‘speaking’ dan dinaikkan ke darjah enam. Kalau nak teruskan pelajaran ke sekolah menengah kena ambil Secondary School Entrance Examination untuk masuk form one (tingkatan satu). Lulus boleh masuk, tak lulus balik kampung atau masuk sekolah persendirian. Tapi bila Dasar Pendidikan Kebangsaan diperkenal pada penghujung 1960-an dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, ramailah budak-budak Melayu masuk sekolah menengah kebangsaan. Malahan budak-budak sekolah Inggeris pun dibagi pilihan untuk pindah ke sekolah menengah kebangsaan kalau mahu. Tapi tak ramai yang terima dan kami terus belajar di sekolah Inggeris. Memanglah sistem pelbagai bahasa ini bagi peluang kepada kaum-kaum utama di negara kita belajar dan kekalkan identiti mereka. Tapi perhubungan mereka tidaklah mesra seperti yang belajar dalam satu kelas macam di sekolah kebangsaan atau di sekolah Inggeris zaman dulu. Kalau hari ini ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum tidak kenal satu sama lain, kurang bertolak-ansur dan mudah dibakar api perkauman, salah satu puncanya adalah kerana mereka tidak disatukan dari awal lagi. Kemudian kita juga abaikan mata pelajaran asas macam penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, tulisan jawi dan akhlak. Hari ini, maaf cakaplah, penguasaan bahasa Inggeris pelajar kita sangat lemah dan bahasa Melayu semakin hari semakin kelam-kabut. Dah jadi bahasa rojak, bahasa pasar dan bahasa jalanan. Jangan cakap mengenai ‘bangsa Malaysia’, bahasa Melayu pun tidak lagi dijiwai oleh bangsa Melayu. Bahasa jiwa bangsa tak lebih daripada slogan untuk ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’. Begitu daifnya bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sehingga kita terpaksa adakan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) selepas 50 tahun melaksanakan dasar bahasa. Kunta Kinte adalah hasil BBK. Pada 1966, Kunta Kinte wakili Kedah dalam pertandingan pidato pelajar di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka. Alhamdulillah dapat nombor tiga. Kemudian penguasaan bahasa Inggeris. Lepasan sistem pendidikan kebangsaan, kecuali di bandar-bandar besar dan di kalangan elit, tidak lagi mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, manakala penguasaan bahasa Melayu semakin hambar. Jadi, Kunta Kinte mintalah kepada semua pihak iaitu dalam usaha hendak perkukuhkan semula pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, termasuk dengan bawa masuk guru bahasa Inggeris dari luar, kita jangan sekali-kali abaikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Memang betul bahasa Inggeris kini bahasa lingua franca dan bahasa teknologi utama dunia yang wajib kita kuasai, tapi kedaulatan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan jangan diabaikan. Hari ini, bahasa Melayu semakin terumbang ambing. Ditikam oleh penjaganya sendiri dan dipinggirkan dalam proses pembangunan. Ada menteri Melayu depan khalayak Melayu pun dia berucap dalam bahasa Inggeris. Dia tak mohon izin lagi. Hinanya bahasa Melayu. Apabila kampung Melayu Pantai Dalam dibangunkan menjadi penempatan moden pelbagai kaum namanya ditukar menjadi Pantai Hill Park. Siapa pemajunya? Syarikat Perumahan Negara milik kerajaan dan YTL Corporation. Apabila rumah setinggan dan rumah pangsa Dewan Bandar Raya di Kampung Kerinchi dirobohkan dan pencakar langit dibina, namanya sekelip mata jadi Bangsar South. Apakah hina dan tak laku sangat kalau ditukar jadi Taman Bukit Pantai, Taman Kerinchi atau Bangsar Selatan? Di manakah pejuang dan pelindung bahasa? Di mana agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab majukan Bahasa Kebangsaan dan yang berkuasa ke atas pemaju dan peniaga? Adakah bahasa Melayu hanya sesuai untuk kampung Melayu dan sinonim dengan kemunduran? Wallahualam.

Berita Harian Online | Biasiswa bukan perbelanjaan: Najib

2011/03/04

MELBOURNE: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan berpandangan biasiswa adalah pelaburan dan bukan perbelanjaan kerana langkah itu mampu membawa negara ke peringkat lebih tinggi. "Ini (biasiswa), kami percaya bukan perbelanjaan tetapi pelaburan. Jika kita terus melabur kepada rakyat, kita akan menjadikan negara kita lebih berdaya saing," katanya di sini hari ini. Berucap di hadapan rakyat Malaysia, kebanyakannya pelajar yang sanggup meredah cuaca sejuk untuk bertemu beliau ketika lawatannya ke Universiti Melbourne, Najib berkata kunci kejayaan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi terletak pada rakyat.
"Jika anda mempunyai golongan rakyat yang tepat, anda berupaya mengalihkan gunung, mengangkat negara ke peringkat lebih tinggi," katanya. Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar menimbang untuk menyumbang kepada tanah air, selepas menimba sebanyak mungkin pengalaman di luar negara. Najib berkata sistem biasiswa boleh membentuk seseorang menjadi individu yang lebih baik dan menyumbang secara positif kepada masyarakat menerusi nilai-nilai murni yang ada pada mereka. - BERNAMA

Berita Harian Online | Ketua guru disiplin sekolah dituduh cabul 11 pelajar

2011/03/04

AMPANG: Seorang ketua guru disiplin dituduh di Mahkamah Majistret Ampang di sini, atas 11 tuduhan mencabul 11 pelajar perempuan berasingan di sebuah sekolah di sini, bulan lalu. Ismazi @ Megat Ismazi Ismail, 48, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan mencabul 11 pelajar berusia antara 15 dan 16 tahun dengan meletakkan tangan di atas dada mangsa.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan.
Mahkamah menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan dan membenarkan tertuduh dijamin RM 11,000 dengan seorang penjamin bagi semua tuduhan.

Rabu, 2 Mac 2011

Sasaran sekolah satu sesi ditetap

Sasaran sekolah satu sesi ditetap Oleh Norfatimah Ahmad dan Abdul Razak Raaff bhnews@bharian.com.my 2011/03/02

 MUHYIDDIN   menyampaikan sumbangan Program Khidmat Masyarakat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional   kepada   seorang penerima yang cacat penglihatan, Teo Guan  pada majlis perjumpaan dengan warga pendidik dan PIBG   Parlimen Kuala Krau  di Temerloh, semalam.  Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri); Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said (tengah) dan calon  BN   DUN  Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pelaksanaan menyeluruh apabila keperluan, kemudahan cukup TEMERLOH: Kerajaan menetapkan sasaran untuk melaksanakan sekolah satu sesi secara menyeluruh apabila keperluan dan kemudahan infrastruktur serta tenaga pengajar mencukupi.
Pelaksanaan sekolah satu sesi itu bermaksud tempoh pembelajaran lebih anjal untuk murid dan guru, sekali gus dapat memberi tumpuan lebih kepada kegiatan kokurikulum.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini sudah ada antara 60 hingga 70 peratus sekolah rendah melaksanakan sekolah satu sesi, bagaimanapun pada peringkat sekolah menengah jumlahnya lebih rendah. "Sekarang, jika sesi pagi tamat pada jam 1 tengah hari kerana ada sesi kedua selepas itu dan sukar untuk pelajar menumpukan kepada kegiatan kokurikulum. "Jadi kesimpulannya, sekolah satu sesi ini memang ada faedahnya, cuma kita tidak pasti bila ia boleh dicapai," katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dengan warga pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di sini, petang semalam. Baru-baru ini, Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad menyarankan kerajaan melaksanakan persekolahan satu sesi dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang dengan memperkenalkan jadual kerja anjal untuk guru supaya tiada beban kerja berlebihan. Muhyiddin berkata, sekolah swasta misalnya tamat antara jam 3 atau 4 petang dan mereka turut menerapkan program sukan dan kokurikulum. Sementara itu, Muhyiddin berkata, Datuk Seri Najib Razak dan beliau akan menjelaskan mengenai implikasi jika rakyat terpengaruh dengan janji manis terkandung dalam Buku Jingga yang dilancarkan pembangkang pada siri turun padang Perdana Menteri ke seluruh negara. Kita (Barisan Nasional) tidak bimbang dengan Buku Jingga, cuma nanti sampai ke satu peringkat, Perdana Menteri dan saya akan ulas satu persatu supaya jangan ada pihak yang terpedaya dengan tarikan yang agak besar yang kononnya ditawarkan pembangkang. Sementara itu, beliau kesal dengan dakwaan tidak berasas pihak pembangkang yang mendakwa kerajaan kini tidak mempunyai wang dan terpaksa menambah sumber pendapatan menerusi saman ekor. Katanya saman ekor adalah berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan pesalah trafik perlu menjelaskan kompaun. "Ini bukan soal kerajaan ada duit atau tak ada duit dan juga bukan soal politik," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di kampung Kuala Tekal, dekat sini, malam tadi.
SUMBER : BERITA HARIAN

Ahad, 27 Februari 2011

KEJAYAAN HASIL KESABARAN

Apabila anda terpesona pada keselesaan yang diberikan oleh kejayaan, anda mungkin lupa untuk terus berusaha. Namun, bila anda terkagum pada ketegaran seseorang dalam berusaha, anda akan mendapat tenaga kekuatan, keberanian dan kesabaran. Tidak ada jalan pintas untuk mencapai sebuah kejayaan. Tak ada harga diskaun untuk sebuah kejayaan. Anda perlu berusaha dan terus berusaha. Pohon besar mampu menahan terjangan badai kerana memiliki batang dan akar yang kukuh. Belasan tahun diperlukan untuk menumbuhkanya dan melatih kekuatannya. Bulan demi bulan hujan menguatkan jaringan pokoknya. Tahun demi tahun, pohon-pohon besar lain melindunginya dari terpaan hujan. Tidak ada hitungan malam untuk memacakkan sebatang pokok yang tegar. Tak ada hitungan siang untuk menumbuhkan akar yang kekar mencengkeram bumi. Hanya dengan kesabaranlah anda dapat meraih kejayaan. Tumbuhkan kesabaran bukan sekadar inginkan kejayaan sekelip mata.

Pameran alam mistik haram

PAMERAN mistik menarik perhatian ramai tetapi dari sudut agama ia dikhuatiri boleh merosakkan akidah. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penganjur satu pameran di Kuala Terengganu yang bakal mengetengahkan artifak mistik seperti anak kerak, jenglot dan jin diminta membatalkan sahaja program itu memandangkan ia ditegah dalam Islam.

Setiausaha Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, jawatankuasa itu sudah membuat ketetapan bahawa pameran seperti itu adalah haram sejak tahun 2007 lagi.

“Jawatankuasa Fatwa membuat ketetapan itu atas kepentingan tidak mahu lagi melihat umat Islam di negara ini terus disogok dengan perkara-perkara tahyul serta khurafat yang tidak mendatangkan faedah,’’ katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengulas mengenai laporan akhbar semalam terhadap pameran bertemakan Masyarakat Berakidah yang dijadual berlangsung tiga bulan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu mulai April ini.

Pameran dikendalikan Dynasty Event Sdn. Bhd. itu turut mendapat kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Kebudayaan Terengganu, Majlis Penggalakan Pelancongan dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu

Asia Tenggara lubuk harta Gaddafi

MUAMMAR GADDAFI

TRIPOLI - Dalam senyap-senyap, pemerintah Libya, Muammar Gaddafi telah mengumpul kekayaan mencecah AS$60 bilion (RM183 bilion) dengan beberapa bilion dolar wang miliknya selamat disimpan dalam beberapa akaun rahsia di negara Asia Tenggara.

Jumlah tersebut meletakkan Gaddafi sebaris dengan bilionair terkaya dunia seperti taikun telekomunikasi, Carlos Slim Helu dan pengasas Microsoft, Bill Gates dengan masing-masing memiliki kekayaan AS$53.5 bilion (RM163.2 bilion) dan AS$50 bilion (RM161.7 bilion).

Sebuah akhbar Britain melaporkan jumlah aset Gaddafi bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana beliau telah mengumpulnya sejak memerintah Libya selama lebih 40 tahun.

Akhbar Belanda, De Volkskrant, melaporkan sekitar AS$40 bilion (RM122 bilion) asetnya berada di Libya manakala bakinya disembunyikan di luar negara.

Menurut beberapa sumber di London dan Tripoli, wang tunai yang disimpan di luar negara itu adalah khusus untuk kegunaan keluarganya.

"Gaddafi sebenarnya bijak, jika tidak masakan beliau boleh bertahan selama lebih empat dekad. Walaupun apa pun yang berlaku kepada dirinya, beliau telah memiliki simpanan tunai dan hartanah di seluruh dunia, terutama Asia tenggara dan rantau Teluk sebagai jaminan masa depan sembilan anaknya," kata sumber itu.

Sumber-sumber tersebut berkerja dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) yang menguruskan dana negara berjumlah sekitar AS$50 bilion (RM152.5 bilion).

Agensi tersebut dikawal oleh Gaddafi.

Menurut mereka, Gaddafi mengambil beberapa langkah bijak bagi mengelak kekayaannya dibekukan seperti yang menimpa bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Bin Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak.

Antaranya, kata mereka, Gaddafi menyimpan wangnya dengan menggunakan akaun bank milik beberapa 'orang kepercayaannya' yang menerima 'habuan' lumayan.

Hanya Gaddafi dan keluarganya yang tahu identiti kroni mereka.

"Kunci kepada semua ini adalah kerahsiaan dan orang kepercayaan. Beliau memiliki beberapa kroni yang membantunya menyembunyikan kekayaannya," kata sumber itu.

"Gaddafi tahu orang kepercayaannya itu akan memulangkan wang miliknya selagi mereka diberi bahagian yang lumayan. Apabila anda memiliki wang berbilion-bilion dolar, perkara ini adalah mudah," tambahnya.

Di Asia Tenggara, wang Gaddafi itu dipercayai disimpan di beberapa akaun pesisir.

Hampir semua wang itu datangnya daripada pendapatan hasil minyak negara.

Selain wang tunai, pemimpin berusia 68 tahun itu turut memiliki beberapa hartanah di kawasan strategik di Lon don.

Beliau membeli bangunan Portman House di London pada harga AS$249 juta (RM762 juta) dan membayar AS$193.4 juta (RM590 juta) untuk membeli sebuah bangunan yang terletak bertentangan dengan bank pusat England.

"Gaddafi juga memiliki kepentingan dalam UniCredit, yang merupakan antara bank terbesar di Itali," lapor sebuah stesen radio Belanda.

Kelmarin, Gaddafi dilapor mendeposit wang tunai berjumlah AS$4.8 bilion (RM14.7 bilion) kepada seorang pengurus dana peribadi di London.

Seorang pengurus dana warga Switzerland yang bekerja dengan Gaddafi berperanan sebagai orang tengah dalam transaksi itu.

Pemindahan wang tersebut berlaku pada minggu lalu.

Lima minggu lalu, percubaan serupa oleh Gaddafi ditolak oleh seorang pegawai kanan di sebuah firma saham di London.

Pegawai berkenaan menolak untuk menguruskan dana itu setelah mengetahui sumbernya.

"Saya berkata tidak kerana secara peribadi, saya keberatan terbabit dengan diktator yang kejam (Gaddafi)," katanya.

Semalam, Amerika Syarikat dan Britain bertindak membekukan aset Gaddafi di negara masing-masing.

Presiden AS, Barack Obama menandatangani perintah eksekutif untuk membekukan semua aset milik Gaddafi dan empat orang anaknya di AS.

Jabatan Perbendaharaan menyatakan, sekatan terhadap Gaddafi, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuannya itu turut melibatkan pentadbiran Libya.

Tindakan tersebut dilakukan selepas London mengumumkan bahawa para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersepakat mengecam keganasan rejim pemerintah di Libya.

Dalam satu kenyataan bersama, EU menyifatkan bahawa tindakan Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri sebagai "langsung tidak boleh diterima".

Sementara itu, Gaddafi memberi amaran beliau tidak akan teragak-agak untuk membakar seluruh Libya jika rakyat terus menentangnya.

Amaran tersebut disampaikannya dalam satu ucapan di Dataran Hijau di sini semalam yang disiarkan oleh televisyen negara itu.

Di hadapan saki baki penyokongnya, diktator Libya itu berkata, beliau tidak gentar untuk mati dan menyeru para penyokongnya supaya bersedia untuk mempertahankan negara.

Malah, ujarnya: "Rakyat Libya sayangkan saya."

Semalam, Gaddafi mengumumkan bahawa orang awam yang menyokongnya akan diberikan senjata api untuk memerangi dan membunuh para penunjuk perasaan.

Tindakan tersebut dijangka akan mencetuskan pertumpahan darah besar-besaran di Tripoli.

Juga semalam, askar-askar yang setia kepada Gaddafi dengan dibantu beberapa kereta kebal menyerang Pangkalan Udara Misrata berhampiran Tripoli.

Pangkalan udara itu sebelum ini jatuh ke tangan pihak penentang.

Setakat semalam, mereka berjaya merampas sebahagian pangkalan tersebut selepas bertempur dengan penduduk tempatan dan unit-unit tentera yang berpaling tadah.

Setakat ini, lebih 2,000 orang terbunuh manakala ribuan yang lain cedera sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan rejim Gaddafi tercetus hampir dua minggu lalu. - Agensi

Sumber : Kosmo Online

JANGAN TERLALU BANYAK MENGKRITIK

Mengkritik itu baik dan menegur kesalahan orang lain itu baik. Namun kritikan yang didasari oleh niat untuk mencari-cari kesalahan orang lain tak mungkin dapat mempermudahkan keadaan. Anda tak perlu menghabiskan waktu dan tenaga anda untuk menilai apakah orang lain telah membuat salah atau benar. Kerana itu sangat mudah! Yang sulitnya adalah melihat kesalahan diri sendiri. Berhati-hatilah bila anda begitu pandai mengkritik. Takut anda tak lagi mampu melihat kebenaran. Sebuta-buta orang ialah mereka yang tak boleh menangkap cahaya kebenaran. Sekali anda gembira kerana menemui sebutir debu kesalahan orang lain, anda akan tergoda untuk mendapatkan yang sebesar kerikil. Begitulah seterusnya, sehingga tanpa disedari anda telah mencipta segunung kesalahan orang. Orang tidak akan suka memakai kacamata cermin yang memantulkan kekurangan wajahnya. Maka dari itu janganlah anda menjadi bayangan ke atas kesalahan orang lain. Bantulah mereka mencari sudut positif dari diri mereka. Di saat itu, orang lain pula akan memantulkan sudut baik dari diri anda sendiri.

SAYANGILAH IBU DAN BAPA KITA

Kasihilah kedua ibubapa anda. Kebanyakan kita, di saat ibubapa masih hidup tidak mudah bagi kita untuk menghargai kasih sayang mereka. Padahal cinta mereka begitu dalam terhadap kita. Di dalam setiap helah nafas, gerak bibir dan langkah mereka tersemat kasih sayang yang tidak ternilai harganya. Tidak ada yang mereka fikirkan begitu penting selain keluarga mereka terutamanya anak mereka. Tahukah kita bahawa anak adalah semangat penerus kehidupan ibubapa? Bahkan dalam amarah kemarahan, kekecewaan dan kesedihan mereka masih boleh tersenyum di hadapan anak-anak. Semua ini hanya kerana kasih sayang mereka terhadap kita. Bagi sesetengah dari kita, ini mungkin nasihat usang yang sudah selalu sering didengar. Namun ketahuilah wahai insan yang bergelar anak, kalimat ini tidak akan pernah usang kerana seorang anak juga akan menjadi ibu atau bapa. Mengasihi ibubapa sebenarnya mengasihi diri kita sendiri. Ingatlah kita dilahirkan dari sebuah kasih sayang, kita membesar dalam naungan kasih sayang dan kita juga akan ditinggalkan dengan lambaian kasih sayang. Mungkin belum terlambat, namun sebelum hati menyesal, kasihilah mereka ibubapa kita. Bagi mereka, balasan kasih sayang ini jauh lebih berharga daripada apa pun yang pernah mereka perolehi. Bagi mereka kasih sayang anak itulah bekal yang sebaik-baiknya untuk menikmati usia senja mereka dan bukannya longgokan harta yang banyak.

Kambing jadi tumpuan Karnival Jom Heboh

Kambing jadi tumpuan Karnival Jom Heboh 2011/02/27

SIAH  membawa Zorich mengunjungi Karnival Jom Heboh di  Kuala Terengganu,  semalam.

KUALA TERENGGANU: Gelagat seorang nenek membawa kambingnya mengunjungi Karnival Jom Heboh TV3 di Dataran Shahbandar, di sini semalam mencuri perhatian ramai, terutama kanak-kanak sehingga ada yang merengek mahu ibu bapa mereka 'membeli' kambing seperti itu. Anak kambing berbulu putih dan coklat diberi nama ‘Zorich’ milik Siah Abdullah, 67, dari Kampung Teluk Ketapang, di sini kelihatan setia mengikut wanita itu dari gerai ke gerai, tetapi cuaca terik menyebabkan haiwan itu kelihatan menggigil dan sesekali mahu disusukan bagi menghilangkan dahaga.
Sambil menarik bakul beroda berisi beberapa tin makanan kucing kesayangannya, Siah berkata, dia memiliki lapan kambing dan 30 kucing, tetapi Zorich paling kerap dibawa bersiar-siar kerana tidak banyak kerenah dan mudah menurut kata.
“Apabila sudah tua, anak ada kehidupan sendiri, hidup terasa sunyi. Kambing dan kucing jadi peneman. Melihat telatahnya, kita terhibur. Mudah saja memelihara haiwan ini kerana jika sudah lama bersama kita, ia menurut kata,” katanya. Dia yang tidak bekerja dan menerima bantuan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berkata Zorich dan seekor lagi anak kambing diberi minum susu Dutch Lady. “Minat memelihara haiwan bermula sejak berusia 16 tahun selepas bapa yang ada hobi sama meninggal dunia. Setiap bulan saya belanja RM81 beli susu. Daripada lapan kambing yang ada, hanya dua perlu diberi minum susu, lima lagi pandai cari makan sendiri,” katanya.
Sumber: Berita Harian

TITIPAN PEDOMAN

Engkau mungkin akan melupakan orang yang pernah ketawa denganmu, tetapi tidak mungkin engkau akan melupakan orang yang pernah menangis denganmu. Kadang-kadang kita terlalu sibuk memberi penghargaan kepada orang lain sehingga lupa memberi penghargaan kepada diri-sendiri. Untuk mencapai sesuatu, mencuba dan gagal itu sangat sakit tapi gagal kerana langsung tidak mencuba itu lagi sakit. Sangat mudah melafazkan sesuatu tetapi sangat sukar untuk melaksanakannya. Sekecil-kecil harapan pun masih dikira baik jika dibandingkan dengan mereka yang langsung tiada harapan. Jangan mudah dilambung mimpi dan terlelap dibuai emosi kerana bila engkau sedar semuannya sudah tiada. Jika anda hilang jati diri, bangsa anda akan kehilangan maruah. Ada manusia yang terlalu taksub dengan perkataan LOGIK. Sesuatu yang tidak logik dikatakan karut dan tidak benar. Mereka berpendapat bahawa semua benda di dunia ini wujud melalui proses EVOLUSI yang logik. Lebih buruk lagi mereka mengandaikan bahawa manusia sendiri berevolusi dari monyet. Persoalannya kalau tubuh boleh... berevolusi, adakah roh monyet boleh berevolusi kepada roh manusia? Tiada bunga ros yang tidak berduri. Engkau sukakannya? Engkau perlu bersedia kerana mungkin durinya akan menusuk jarimu. Itulah lumrah hidup, tiada yang mudah untuk dimiliki. Tahu menggunakan akal dan tahu mengawal perasaan itulah yang dikatakan bijaksana. Kalau engkau ingin keluar dari kepompong kemiskinan dan kesusahan engkau hanya ada satu jalan iaitu pendidikan. Jangan lupa asal usulmu apabila sudah berada di puncak kejayaan kerana di situlah perjalananmu bermula.

HALWA MINDA

Orang yang paling berani bukanlah orang yang berani mati tetapi orang yang berani hidup.. Kalau saya ditanya bilakah kita dikatakan sudah berjaya dalam hidup? Saya akan menjawab "Saya berjaya dalam hidup apabila semua cabaran dan dugaan dalam hidup ini telah berjaya saya harungi." Suatu perkara yang orang paling takut adalah MATI, tetapi orang selalu lupa untuk bersedia menghadapi MATI. Jika engkau ingin mengubah darjat duniamu, engkau perlu mengubahnya dengan usaha. Tetapi jika engkau ingin mengubah darjat akhiratmu, engkau perlu mengubahnya dengan IMAN. Kadang-kadang hatimu tersalah menduga ujianNYA sehingga menganggap DIA tidak mempedulikanmu. Ketahuilah, DIA mendengar jelas setiap bait-bait doamu dan percayalah bahawa DIA tidak menganiayaimu tetapi DIA sedang mengujimu.

MADAH

Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.
Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan. Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya. Dan hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya.
Tawadhu ialah bila setiap kali seseorang berjumpa dengan seorang muslim, ia menyangka bahwa orang itu lebih baik daripada dirinya.
Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.
Harta yang paling menguntungkan ialah SABAR. Teman yang paling akrab adalah AMAL. Pengawal peribadi yang paling waspada DIAM. Bahasa yang paling manis SENYUM. Dan ibadah yang paling indah tentunya KHUSYUK.
Membalas kebaikan dengan kejahatan adalah perangai yang serendah-rendahnya. Membalas kejahatan dengan kejahatan,bukanlah perikemanusiaan. Membalas kebaikan dengan kebaikan adalah hal biasa. Membalas kejahatan dengan kebaikan adalah cita-cita kemanusiaan yang setingginya. Kita harus sanggup hidup untuk memberi cita-cita itu bertumbuh.
Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan. Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi. Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan. Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan. Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Tuhan. Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan. Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah musik yang menggetarkan hati. Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti. Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan. Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga.
Emas diuji dengan api, wanita diuji dengan emas dan lelaki diuji dengan wanita.
Berilah cinta tanpa meminta balasan dan kita akan menemui cinta yang jauh lebih indah.
Ketika kamu melontarkan sesuatu dalam kemarahan, kata-katamu itu meninggalkan bekas seperti lubang di hati orang lain. Kamu dapat menusukkan pisau pada seseorang, lalu mencabut pisau itu. Tetapi, tidak peduli berapa kali kamu meminta maaf, luka itu akan tetap ada. Dan, luka kerana kata - kata adalah sama buruknya dengan luka berdarah.
Keikhlasan mempunyai kilauan dan sinar, meskipun ribuan mata tidak melihatnya. Penglihatan itu sebagai panah iblis yang berbisa, maka siapa yang mengelakkannya kerana takut padaKu, maka Aku akan menggantikannya dengan iman yang dirasakan manisnya dalam hati…
Kebaikan seorang pemimpin adalah lebih baik daripada kebaikan zaman.
Jika kejahatan di balas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim. Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji. (La Roche)
Sekiranya seorang manusia dipanggil sebagai seorang penyapu sampah, dia harus menyapu sama sepertimana Michelangelo melukis atau Beethoven memainkan muziknya, ataupun Shakespeare menulis puisinya. Dia harus menyapu dengan begitu baik sekali sehingga semua yang terdapat di syurga dan dunia akan berhenti dan berkata disinilah tempat tinggal seorang penyapu sampah yang paling hebat, yang telah melakukan kerjanya dengan baik sekali.
Cara terbaik menghukum orang yang telah melakukan kesalahan terhadap kita ialah dengan berbuat baik kepadanya.
Jika kamu berhasrat untuk berjaya, jangan hanya memandang ke tangga tetapi belajarlah untuk menaiki tangga tersebut.
Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak merancang adalah merancang untuk gagal.
Keberanian yang sebenar ibarat layang-layang. Sentakan angin yang menentangnya bukan melemparkannya ke bawah, sebaliknya menaikkannya -John Petitsenn
Gerobak kosong lebih banyak bisingnya (suara ributnya) daripada gerobak yang penuh muatan. Bangsa yang tidak percaya kepada kekuatan dirinya sebagai sesuatu bangsa, tidak dapat berdiri sebagai suatu bangsa merdeka -Soekarno
Ciri orang yang beradab ialah dia sangat rajin dan suka belajar, dia tidak malu belajar daripada orang yang berkedudukan lebih rendah darinya ~ Confucius
Tujuan agama yang benar dan ilmu yang benar hanyalah satu iaitu menuju kebenaran yang mutlak.Ilmu untuk mengetahui dan agama untuk merasai.Ilmu untuk bendanya dan agama untuk jiwanya. (Hamka).
Janganlah kamu hanya berdoa”Ya Allah,Ya Tuhanku!Anugerahilah hambamu rezeki!Sesungguhnya kamu harus mengerti bahawa langit itu tidak menurunkan hujan emas dan perak.

KATA-KATA INSPIRASI KEJAYAAN

Jika anda ingin mencari orang yang paling gagal tetapi paling berjaya, Thomas Alpha Edison adalah orangnya. Beliau adalah contoh insan yang paling kuat semangat di dalam mengejar impian. Beliau mengalami banyak kegagalan sebelum mencapai kejayaan. Jadi tiada alasan bagi anda untuk bangkit dari kegagalan walaupun perlu bangun dan jatuh berkali-kali. Apa yang kebanyakan dari kita tidak sedari adalah maksud positif di sebalik satu kegagalan yang berlaku. Kita sering melihat kegagalan pada sudut yang negatif sehingga terlupa melihat di sudut yang positif. Sebenarnya kegagalan adalah satu proses menuju kejayaan. Berapa kali anda gagal bukanlah satu ukuran, tetapi ukuran yang sebenarnya adalah bagaimana anda bangkit dari setiap kegagalan. Jangan sekali-kali berputus asa kerana sering mengalami kegagalan sebab masih banyak peluang lain yang boleh kita raih selagi nyawa masih di kandung badan. Jika anda gagal, maka jangan berhenti untuk terus mencuba. Henry Ford pernah berkata, “Kegagalan itu merupakan satu kesempatan untuk mendapatkan peluang yang lebih baik.” Kegagalan itu adalah cara kita belajar, cara kita untuk memperbaiki kesilapan dan mematangkan fikiran. Dan kegagalan itu mungkin juga ujian dari Allah. Masih ada sejuta peluang lain lagi jika anda gagal. Masih banyak peluang yang boleh kita cari dan cuba. Walau wang kita habis, walau harta kita habis, selama mana aset pikiran dan hati masih ada, maka masih banyak peluang yang boleh kita cuba lagi. Senantiasa ada cara untuk kita bangkit dari kegagalan. Yang penting adalah kita sentiasa ada kemahuan untuk terus berjaya. Ingat! kebanyakan orang yang gagal selamanya adalah orang yang telah berhenti untuk mencuba. Berhenti mencuba adalah cara yang pasti untuk gagal selamanya. Selama anda terus mencuba, maka peluang untuk berjaya selalu ada. Pintu yang selalu menutup pintu kejayaan adalah hilangnya kemahuan untuk terus mencuba lagi. Tiada siapa yang perlu disalahkan di atas kegagalan Anda. Tidak perlu mencari alasan untuk tidak mahu mencuba lagi. Yang diperlukan ialah anda perlu mahu belajar dan terus belajar dari kegagalan yang lalu. Sebabnya, di luar sana masih ada sejuta kesempatan untuk anda. Kegagalan demi kegagalan adalah ibarat sekolah kehidupan anda. Semakin banyak anda gagal, bererti semakin banyaklah ilmu Anda. Semakin anda banyak gagal, bererti semakin tinggilah sekolah anda. Kebanyakan orang berjaya di dunia bukan kerana lulus dari pengajian tetapi kerana lulus dari sekolah kehidupan. Jalani sekolah kehidupan sampai anda lulus. Namun jika kita tidak dapat memetik hasil usaha kita di dunia, insya Allah kita akan memetiknya di akhirat kelak. Tidak ada usaha yang sia-sia jika kita benar-benar ikhlas.

I WANT TO BE....

How to be come a Blogging Idol?

>